Penderma Darah Insan Cakna

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Islam menganjurkan umatnya agar berbuat kebaikan dan kebajikan sesama manusia. Atas dasar itulah Islam memperkenalkan konsep sedekah, infak dan wakaf yang menjadi sunah hasanah buat ummah.

Apabila menyebut tentang sedekah, kita lebih tertumpu kpada dua skop sedekah sahaja iaitu sumbangan wang ringgit dan tenaga sahaja. Sedangkan dalam Islam amalan sedekah melibatkan semua hal yang menghala kepada kebaikan buat insan lain.

Allah telah berfiman dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa.”

Oleh itu, bertolak dari pemahaman kita terhadap ayat Allah itu menunjukkan bahawa setiap Mukmin yang secara rela hati menderma darah bagi memenuhi seruan pihak kesihatan awam di negara kita sebagai insan umat Islam yang menyahut seruan Allah agar bertolon-tolongan dalam amal kebajikan.

Islam meletakkan amalan menderma darah itu sebagai suatu ibadah untuk kemanusiaan yang pastinya di sisi Allah begitu besar ganjaran pahalanya.

Membantu insan lain yang memerlukan bekalan darah untuk perawatan merupakan satu perbuatan kebajikan, sekali gus meringankan kesusahan yang terpaksa ditanggung.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang Mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Individu yang bersedia dengan hati penuh ikhlas menderma darah itu adalah individu yang berjiwa cakna insan yang tinggi.

Rasulullah SAW pernah menegaskan: “Allah akan menolong seorang hambanya selagi mana hamba itu menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Menderma darah adalah perkara utama yang harus menjadi keutamaan kita selain daripada sedekah berbentuk kewangan dan tenaga.

Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

Kita tidak berkesempatan melalui detik-detik perjuangan sahabat Rasulullah SAW yang bersedia jiwa raga mempertahankan kesucian agama Islam sehingga ada yang terkorban syahid.

Namun, kita masih berkemampuan untuk berjuang dalam konteks pejuang kemanusiaan dengan menanam dalam diri sikap cakna insan seperti kesanggupan menderma darah.

Firman Allah menerusi Surah Yunus ayat 26 yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) tambahannya (kenikmatan melihat Allah). Dan wajah mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) dalam kehinaan. Mereka itulah penhuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”

Ayat Allah seharusnya menjadi motivasi tinggi untuk kita terus menjadi seorang hamba Allah  yang sentiasa ingin berbuat kebaikan dan kebajikan sesama manusia lain khususnya dalam aspek amalan menderma darah. 

Sumber: HARIAN METRO