Bagaimanakah Nasib Kanak-Kanak Pelarian dan Sistem Pendidikan di Iraq?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Keputusan yang dibuat oleh pemerintah Iraq untuk menutup semua kem pelarian dalaman (IDP) pada akhir November 2020 telah menjadi satu bencana yang sangat besar. Keputusan yang dilaksanakan tanpa pemberitahuan segera dan tanpa memberikan tempat tinggal alternatif yang selamat telah menimbulkan rasa takut dan ketidakpastian di kalangan keluarga para pelarian.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa hampir separuh tidak dapat kembali ke kawasan asalnya dan terpaksa hidup tanpa arah di pinggir bandar atau di dalam bangunan rosak serta tidak selamat tanpa ada keperluan asas.

Situasi merbahaya ini sangat memberi kesan besar terutamanya terhadap kanak-kanak untuk bersekolah. Organisasi antarabangsa seperti UNICEF telah mengeluarkan laporan mengenai kesan terhadap anak-anak yang tidak bersekolah, dan sejauh mana kesan ini terhadap masyarakat secara keseluruhan pada masa akan datang.

Laporan yang dikeluarkan adalah suara kebimbangan mengenai impak mengenai kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah, selain penderitaan psikologi dan fizikal seperti rasa terasing, kegelisahan dan kekurangan komunikasi.

Kemerosotan pendidikan telah menimpa anak-anak pelarian. Iraq yang kini tersepit di antara kekacauan dan bencana, telah menunjukkan kegagalan negaranya dan sistem pendidikannya, yang mana dahulu pernah memiliki sistem pendidikan terbaik di rantau tersebut.

Akibat peperangan selama bertahun-tahun, sekatan dan pendudukan tentera telah menyebabkan kerosakan yang sangat banyak terhadap infrastruktur negara Iraq dan paling utama telah menghancurkan salah satu tonggak utama masyarakat iaitu pendidikan. Kurangnya pelaburan pihak pemerintah dalam pendidikan, disamping ketidakstabilan politik dan keganasan yang berterusan serta pemindahan keluarga secara beramai-ramai, telah menganggu urustadbir pendidikan.

Sehingga hari ini, terdapat 3.2 juta kanak-kanak Iraq yang masih tidak dapat bersekolah dan berada di kawasan yang dilanda konflik.

Lebih daripada 90 peratus kanak-kanak sekolah tidak lagi mendapat pendidikan. Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada eksploitasi dan penderaan, termasuk perkahwinan awal terutama untuk kanak-kanak perempuan, kanak-kanak yang dipaksa menjadi buruh dan askar.

Setiap satu dari antara dua sekolah telah rosak. Banyak sekolah terpaksa beroperasi mengikut giliran, dan jumlah guru yang berkelayakan berkurangan dalam semua peringkat pendidikan.

Belanjawan nasional Iraq telah menyaksikan penurunan berterusan dalam beberapa tahun terakhir, yang memperuntukkan kurang dari 6 persen untuk sektor pendidikan dan ini telah menempatkan Iraq di kedudukan paling bawah di antara negara-negara Timur Tengah.

Sejak berakhirnya operasi ketenteraan menentang Daesh pada tahun 2017, bahagian-bahagian Mosul barat masih lagi terlihat seperti kawasan zon perang

Bagi kanak-kanak dari keluarga yang pulih dari trauma yang disebabkan konflik, pendidikan di sekolah adalah alat penting untuk memperkenalkan semula gaya hidup normal dan memberi rasa selamat kepada mereka.

Walau bagaimanapun, telag berlaku kekurangan guru, disebabkan ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, disamping bangunan sekolah yang tidak mencukupi, menjadi faktor utama yang menghalang akses pendidikan.

Laporan baru yang dihasilkan oleh NORCAP dan Majlis Pelarian Norway (NRC) telah memberikan analisis komprehensif mengenai sistem pendidikan di Iraq. Laporan ini turut menekankan penafian hak mendapat pendidikan bagi kira-kira 45,000 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka disyaki terlibat dengan Daesh.

Selama 18 tahun yang lalu, ahli akademik dan profesional Iraq, termasuk guru, telah melarikan diri. Lebih 830 pembunuhan telah dicatatkan, termasuk 380 ahli akademik dan doktor universiti, 210 peguam dan hakim, dan 243 wartawan / pekerja media.

Ahli akademik, pelajar dan profesional Iraq sangat memerlukan bahan dan kaedah moden untuk pembelajaran dan pengajaran di universiti. Ramai ahli akademik juga bimbang tentang campur tangan politik dalam sektor ini kerana bimbang menjadi penghalang akan pembangunan untuk pergi lebih jauh.

Penutupan sekolah pada Februari lalu disebabkan COVID-19 telah menjejaskan lebih daripada sepuluh juta kanak-kanak yang berusia 6 hingga 17 tahun di seluruh negara. Ia telah menyebabkan penurunan kadar pendidikan bagi berjuta-juta kanak-kanak yang sememangnya telah lama tidak bersekolah.

Untuk meredakan krisis pendidikan yang dihadapi kanak-kanak Iraq hari ini, laporan NRC telah mengesyorkan langkah segera yang perlu diambil oleh pemerintah Iraq, seperti meningkatkan jumlah guru terlatih di sekolah formal, memperbanyak kemudahan sekolah untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah serta membenarkan kanak-kanak tanpa dokumen untuk bersekolah.

Selain itu, para pelarian dan pelajar yang kehilangan tempat tinggal selama bertahun-tahun turut memerlukan sokongan dan program pembelajaran yang perlu disegerakan untuk membantu memasukkannya semula ke dalam sistem pendidikan.

Laporan NRC menekankan pentingnya mendukung pendidikan anak-anak sebagai pelaburan di masa depan Iraq. “Jika tidak dilakukan generasi baru kanak-kanak Iraq akan terbantut,” dan “modal insan untuk masyarakat Iraq yang lebih stabil dan inklusif pada masa depan akan terjejas. “