Kota Bharu: Kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turun padang bagi memberi sokongan moral kepada penduduk Orang Asli di Pos Bihai, Balar dan Belatin yang terancam dengan serangan harimau belang.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya berjumpa dengan 2,000 penduduk terbabit untuk memberi sokongan termasuk khidmat nasihat.
“Jakoa berjumpa dengan penduduk kampung sebagai tanda sokongan dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan walaupun harimau belang masih lagi berada di perkampungan itu.
“Kita memberi nasihat supaya penduduk tidak keluar rumah terutama pada waktu malam dan jika mahu keluar pada waktu siang, kita minta mereka membawa teman.
“Selain itu, kita juga memberi bantuan keperluan harian kepada 600 ketua keluarga yang terjejas dengan ancaman harimau bagi meringankan beban dan mengelakkan mereka keluar rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, Jakoa juga akan menempatkan pegawai di perkampungan itu untuk sama-sama memantau dan membantu penduduk kampung.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi menangkap tiga ekor harimau masih lagi dijalankan.
“Setakat ini, masih belum ada tangkapan. Kita berharap harimau berkenaan dapat ditangkap dalam masa terdekat untuk memastikan keselamatan penduduk kampung,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.
Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul kira-kira jam 9.10 pagi.
Sumber: My Metro