Penduduk Gesa Hentikan Aktiviti Pembalakan, Didakwa Punca Air Tandak Tercemar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Lebih 2,000 penduduk di beberapa kampung di sekitar Kampung Jerek merayu supaya pihak yang terbabit dapat menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran kampung itu kerana menyebabkan punca air tandak mereka tercemar.

Penduduk mendakwa sejak tiga bulan lalu air Sungai Tosen yang menjadi nadi utama punca air mereka mula tercemar apabila hari hujan.

Seorang penduduk, Nik Pa Nik Mat, 54, berkata, apabila hari hujan, air Sungai Tosen yang disalurkan ke hampir 2,000 rumah akan keruh dan kotor.

Katanya, keadaan itu dikatakan berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran, sejak tiga bulan lalu.

“Kami menyedari punca air yang keruh ini sejak berlaku aktiviti pembalakan berhampiran punca air tandak. Apabila hujan, akan berlaku hakisan tanah dan masuk ke sungai yang menjadi punca air tandak kami.

“Sekiranya hari hujan, air yang keluar dari paip di rumah kami seperti air ‘teh beng’, sangat keruh dan mengandungi selut.

“Macam mana kami nak guna? Sedangkan air itu menjadi sumber kegunaan kami setiap hari. Jadi kami sangat berharap supaya dapat dihentikan aktiviti pembalakan di hutan berhampiran kampung ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Jerek di sini.

Menurut Nik Pa, punca air tandak itu juga menjadi sumber air di beberapa kampung di kawasan itu, antaranya Kampung Jerek Dalam, Kampung Jerek Luar, Kampung Jerek Tengah dan Kampung Tosen.

“Penduduk di sini lebih memilih untuk menggunakan air tandak kerana kosnya lebih murah berbanding (sumber daripada) Air Kelantan.

“Kalau air tandak, penduduk hanya perlu membayar RM3 hingga RM4 sebulan kepada kumpulan yang menguruskan air tandak ini.

“Kami penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman hidup hanya cukup makan dan tidak mampu membayar bil air. Jadi lebih selesa menggunakan air tandak dengan kos yang lebih murah,” katanya.

– BERITA HARIAN