DUNGUN – Biarpun sudah lali berdepan banjir, penduduk Hulu Dungun tetap berwaspada menghadapi gelombang ketiga bah yang dijangka melanda kampung mereka Khamis ini.
Tinjauan mendapati penduduk di kampung Pasir Raja, Syukur, Kuala Jengai, Minda, dan Talong sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Penduduk Kampung Syukur, Tengku Rosman Tengku Jaafar, 60, berkata tahun ini dia sudah berdepan dengan dua kali banjir iaitu awal Januari dan 16 Disember lalu.
Katanya, amaran awal banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara beberapa hari lalu, membolehkan penduduk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami bersiap sedia menghadapinya, memandangkan keadaan sungai yang semakin cetek boleh menyebabkan air sungai melimpah ke kampung.
“Sebelum ini, kami berpindah ke balai raya berhampiran selama empat hari dan selepas pulang bersih rumah, kami diarahkan sekali lagi untuk berdepan situasi ini,” katanya.
Tengku Ibrahim Tengku Jaafar, 57, berkata banjir besar pada tahun 2014 masih segar dalam ingatan dan bimbang ia kembali berulang.
Katanya, kawasan Hulu Dungun antara kawasan yang sering terjejas dan jika hujan berterusan, keluarganya sedia berpindah tanpa menunggu arahan pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa telah keluarkan amaran air Sungai Dungun dijangka melepasi paras bahaya pada 30 hingga 31 Disember ini dan semua penduduk dimaklumkan supaya bersedia,” katanya.
Tengku Rosman berkata, penduduk kampung di Hulu Dungun sentiasa berwaspada dan sedia mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan nyawa.
Sumber: BERITA HARIAN