Penduduk Kampung Insaf Perlu Berpindah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH: Penduduk Kampung Insaf di Lanchang perlu berpindah ke kawasan lain yang lebih tinggi bagi memastikan mereka selamat daripada terus dilanda bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, seramai 17 buah keluarga tinggal di kampung berkenaan kini hanya dapat melihat kesan kerugian dan kehilangan yang dialami selepas terkesan teruk akibat banjir baru-baru ini.

Keadaan Kampung Insaf di Lanchang.

“Salah satu daripada dua buah rumah penduduk yang baru sahaja siap dibaikpulih melalui peruntukan Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) turut dihanyutkan banjir selain kesan kerosakan teruk rumah majoriti penduduk di sini.

“Jika mahu hidup dalam situasi selamat, semua penduduk perlu berpindah, jadi sekarang ini kita cadangkan mereka mencari rumah sewa sementara di kawasan lain dengan bantuan subsidi Kerajaan Negeri sebanyak RM200 sebulan selama enam bulan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.

Beliau yang turut meluangkan masa melawat penduduk dan situasi semasa di kampung berkenaan turut memaklumkan usaha berterusan dilakukan Kerajaan Negeri bagi membantu mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin ketika meluangkan masa melawat penduduk Kampung Insaf di Lanchang.

“Kita dah lama maklum kawasan kampung ini berada di kawasan rendah dan sentiasa dilanda bencana banjir. Jika sebelum ini mereka tak mahu berpindah ke lokasi yang disediakan, saya yakin jika buat penempatan semula mereka akan berpindah sebab tidak mungkin mereka mahu terus menghadapi musibah ini yang dilihat semakin kerap.

“Kerajaan Negeri akan memikirkan apa langkah dan solusi yang terbaik untuk mengatasi masalah ini daripada berterusan selain berharap agar penduduk bersedia memberi kerjasama baik di atas sebarang cadangan daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius kepada penduduk kawasan lain yang turut mengalami keadaan sama iaitu terkesan teruk akibat banjir seperti Taman mentakab Indah, Kampung Lompat, Batu Kapur, Kampung Sungai Buluh, Kampung Tanjung Kerayong dan Kampung Paya Kecil.

Sumber: PAHANGMEDIA