Penduduk Kelantan di gesa Derma Darah, Ini Tips Untuk Yang Pertama Kali

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Oleh Najmi Mamat

Kementerian Kesihatan Malaysia semalam mengumumkan bahawa bekalan darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan kini berlaku pengurangan apabila bekalan beg darah yang sedia ada hanya mencukupi untuk tiga hari seterusnya.

Lebih membimbangkan, unit transfusi hospital itu mengeluarkan kenyataan stok bekalan yang masih berbaki untuk setiap jenis darah.

Ramai mungkin tidak sedar akan kepentingan menderma darah atau mungkin tidak tahu prosedur yang betul. Sebenarnya, bukanlah sukar untuk menderma darah. Bagi yang pertama kali, anda hanya perlu ikut tips ini supaya tidak keliru kalau dah sampai di pusat menderma darah nanti.

1. Tahu syarat-syarat menderma

Jika anda berniat untuk menderma pertama kali, ada beberapa syarat yang anda kena ambil tahu. Pertama, anda mestilah sihat tubuh badan. Seterusnya, anda juga mesti berumur di antara 18 hingga 65 tahun (pernah menderma), 18 hingga 60 tahun (penderma pertama kali) dan bagi yang berusia 17 tahun anda perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.

Selain mempunyai berat badan 45kg ke atas dan tiada masalah kesihatan, antara syarat lain ialah;

  • Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti bertukar-tukar pasangan seks, hubungan jenis sesama jantina (homoseksual) dan mengambil dadah secara suntikan
  • Pendermaan terakhir adalah tiga (3) bulan yang lepas
  • Tidak mengandung, tidak datang haid dan tidak menyusukan anak bagi penderma wanita

Anda dinasihatkan untuk tidak menderma sekiranya pernah tinggal di United Kingdom dan Eropah mengikut tempoh tertentu.

Foto Afiqhalid.com
2. Ikut sahaja prosedur yang ditetapkan

Setiap tempat mungkin mempunyai prosedur yang berbeza atau lebih kurang sama. Namun, lazimnya ini proses yang akan anda lalui sekiranya anda menderma dengan Pusat Darah Negara (PDN). Antara prosesnya ialah anda perlu mengisi borang yang disediakan. Kemudian, darah anda akan diperiksa terlebih dahulu untuk mengenal pasti tahap kepekatan dan kumpulan darah.

Selepas itu, anda juga akan melalui sesi soal selidik atau kaunseling pra-pendermaaan bagi mengenal pasti sebarang masalah perubatan dan tahap risiko penderma.

Jika layak, sebaik sahaja proses pengambilan darah selesai, anda mungkin akan diberikan sedikit makanan dan minuman ringan.

3. Dapatkan tidur yang cukup sehari sebelum menderma

Tips ini juga penting untuk mereka yang merancang untuk menderma keesokan harinya. Pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Minimum tidur yang cukup ialah 5 jam.

Foto Mediapermata.com
4. Sebelum tu, makan dan minum dulu yang penting

Makan dan minum juga perlu dijaga sebelum menderma. Sebagai contoh, jika anda merancang untuk menderma di sebelah pagi, pastikan anda mengambil sarapan dahulu. Jangan ada yang berpuasa pula pada hari menderma! Dinasihatkan juga untuk mengambil makanan yang banyak zat besi beberapa minggu sebelum menderma. Elakkan makan makanan yang berlemak kerana ia mungkin boleh menjejaskan ujian pemprosesan darah.

5. Dokumen penting jangan lupa bawa

Berikut ialah dokumen ASAL yang perlu anda bawa salah satu daripadanya:

WARGANEGARA MALAYSIA

BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA

Kad Pengenalan Awam/ Tentera/ Polis Tinggal di Malaysia melebihi 1 tahun
Lesen Memandu Passport
Kad Pekerja dengan No Kad Pengenalan dan gambar Permit Kerja dengan nombor passport dan gambar
Kad Pelajar dengan No Kad Pengenalan dan gambar Kad Pelajar dengan nombor passport dan gambar

Buku Penderma darah (PDN 2) untuk penderma ulangan

Ingat, dokumen berikut tidak diterima jika ia berbentuk salinan!

6. Ikut nasihat tertentu selepas menderma

Selepas proses pengambilan darah, di sini ada beberapa nasihat yang mungkin bermanfaat untuk anda;

  • Dinasihatkan berehat di katil menderma darah selama sekurang-kurangnya 10 minit
  • Digalakkan mengambil minuman dan makanan yang telah disediakan selepas menderma
  • Dinasihatkan meminum banyak air selepas tempoh 12 jam selepas menderma
  • Jauhi aktiviti-aktiviti berat seperti menyelam, mendaki gunung serta sukan lasak dalam tempoh 24 jam selepas menderma.

 

Foto Says.com

Banyak kelebihan daripada menderma darah ini. Bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa untuk mereka yang memerlukan, tetapi juga bermanfaat untuk kesihatan anda sendiri. Jadi, bagi mereka yang belum pernah menderma, ikutilah tips ini bagi memudahkan urusan dan proses menderma.

Semoga bermanfaat!

Sumber: MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, Pusat Darah Negara