Penduduk lima kampung bantah pembalakan di hutan simpan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Penduduk lima kampung di sini merayu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertimbang dan mengeluarkan arahan projek pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan (Kompartmen 1), Mukim Pedah, dekat sini dihentikan serta-merta dan dikaji semula.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Pembalakan Mohd Rosmani Md Sharif, 41, berkata, pembalakan itu menyebabkan kemusnahan alam sekitar di Kampung Bharu, Sungai Badak, Lata Kasah, Binjai dan Sungai Par membabitkan kira-kira 1,500 penduduk.

Katanya, projek pembalakan itu memusnahkan eko-sistem di kawasan itu dengan berlakunya pencemaran air sungai, hakisan tanah serta flora dan fauna terjejas.

Bisu berkata, ia turut memusnahkan habitat haiwan dan unggas untuk berlindung serta menjejaskan sistem saliran yang turut membawa bencana seperti banjir di kawasan sekitar.

“Kami membuat bantahan secara bertulis dan dihantar kepada pejabat Menteri Besar Pahang dan turut dipanjangkan ke Pemangku Raja Pahang, ” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, kelmarin.

“Surat bantahan bertulis itu diterima oleh Menteri Besar Pahang pada 29 September 2020 dan KDYMM Pemangku Raja pada 3 Disember 2020,” katanya.

Mohd Rosmani berkata, pihak kontraktor sudah menjalankan kerja awal pembalakan pada 22 Januari 2021 tanpa mengambil kira pandangan penduduk.

“Tiada sebarang perbincangan dengan pihak kami dan tidak pernah menerima sebarang jawapan daripada pejabat MB Pahang berkaitan bantahan yang dibuat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Damak, ZuridanMohd Daud berkata, isu itu sudah beliau sampaikan ke makluman pihak Menteri Besar.

“Saya harap ada perbincangan dengan cara terbaik, demi faedah kedua pihak, agar situasi menang-menang boleh diperolehi.

“Sebagai wakil rakyat, saya perlu menerima makluman dan rayuan orang ramai khusus dalam kawasan Damak dan keperluan itu ada asasnya kerana sebagai tempat tadahan air dan juga kawasan tarikan pelancong seperti aktiviti mendaki Bukit Panau serta terdapat kegiatan penternakan ikan kolam penduduk yang mungkin terjejas,” katanya.

Sumber: My Metro