Jerteh: Besar harapan penduduk di pulau peranginan di Terengganu untuk membuka kembali resort dan aktiviti pelancongan kendalian, selepas negeri ini beralih kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula Isnin lalu.
Mereka mengakui rindu untuk menikmati kehidupan seperti sebelum pandemik Covid-19, yang mana ketika ini adalah musim yang sibuk buat masing-masing melayan ‘tetamu’ terutama di Pulau Perhentian, dekat sini.
Sebelum itu, kata mereka, mahu divaksin segera di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dan rata-rata penduduk ditemui tidak sabar untuk menerima sekurang-kurangnya dos pertama.
Mustafa Harun, 65, berkata, sejauh mana dia mahu menyambut kunjungan pelancong, dia juga bimbang penularan Covid-19 dan berharap vaksin sebagai ikhtiar untuk melindungi mereka walaupun ketika ini masing-masing jauh daripada masyarakat luar.
“Walau terpisah dari tanah besar, perasaan bimbang tetap ada terutama apabila menerima kedatangan orang luar.
“Saya memang bersedia untuk disuntik kerana mahu melindungi diri dan keluarga daripada Covid-19 selain mahu menjalani kehidupan normal,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nik Hashim Musa, 61, tidak mahu memikirkan cerita negatif yang disebarkan segelintir pihak mengenai vaksin.
“Kita tidak nafikan ada pelbagai cerita mengenai vaksin ini tetapi saya hanya ambil mana yang betul dan mengabaikan yang sebaliknya.
“Kalau pasal cucuk (suntikan vaksin), ia memang penting untuk kita dan kerajaan tidak akan berbelanja berbilion ringgit untuk menjayakan program ini jika mahu menipu kita.
“Saya lihat apa yang kerajaan lakukan untuk selamatkan rakyat, jadi saya sendiri memang tidak sabar menerima suntikan,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bot.
Bagi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pulau Perhentian Zainudin Mohd pula, dia turut berharap program vaksinasi penduduk di pulau dipercepatkan.
“Wabak Covid-19 beri kesan kepada ekonomi masyarakat di seluruh dunia termasuk kami di pulau ini, memandangkan 95 peratus sumber pendapatan penduduk adalah daripada sektor pelancongan.
“Walaupun terdapat pelbagai tanggapan negatif mengenai vaksin ini, kami yakin untuk mengambil suntikan ini sebagai ikhtiar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Perhentian Zakuan Mat Nasir berkata, majoriti penduduk sudah mendaftar di bawah PICK dan berharap menerima vaksin secepat yang mungkin.
“Ini kerana kami mahu segera menjalani kehidupan seperti sebelum penularan pandemik, selain sebagai persediaan sekiranya sektor pelancongan dibuka kelak.
“Kita tahu Pulau Perhentian adalah tempat tumpuan ramai dan sebab itu penduduk tidak sabar divaksin kerana mahu merancakkan semula ekonomi yang terjejas,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan berhasrat membekalkan vaksin satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk, penempatan Orang Asli, masyarakat di pulau, Sabah dan Sarawak.
Sumber: My Metro