KUALA TERENGGANU: Penularan jangkitan COVID-19 di Pulau Perhentian, Besut, di sini, menyebabkan lebih 2,000 penduduk di pulau peranginan itu dikenakan sekatan pergerakan sejak Jumaat lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata pelaksanaan sekatan itu bagi mengawal pergerakan penduduk dalam usaha mengekang penularan virus terbabit.
Katanya, setakat ini sebanyak 53 kes positif COVID-19 dikesan sejak Jumaat lalu hasil ujian saringan yang dijalankan disyaki berpunca daripada pergerakan penduduk ke bandar (tanah besar).
“Semua penduduk yang positif dibawa ke tanah besar bagi menjalani kuarantin serta rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Besut.
“Bagaimanapun, seorang pesakit yang berada dalam kategori empat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Ketika ini, semua penduduk dipakaikan gelang bagi memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka dan hanya pembekal makanan dibenarkan memasuki pulau itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Stadium Negeri Kuala Terengganu sebagai PKRC Bersepadu di sini.
Dr Kasemani berkata, semua penduduk, pengusaha chalet dan pemilik resort di pulau berkenaan dijangka selesai menjalani ujian saringan secara besar-besaran hari ini.
“Sekatan pergerakan akan diteruskan sehingga keadaan terkawal dan berharap penduduk setempat dapat bersabar dan mematuhi arahan ditetapkan,” katanya.
Sumber: Berita Harian