Penduduk terkejut, gajah masuk kampung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Seorang warga emas tergamam melihat seekor gajah berada di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit, di sini.

Wook Umat, 82, yang baharu selesai menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.20 pagi terdengar bunyi bising di luar rumah.

Menurutnya, dia menyangka bunyi bising itu disebabkan anaknya sedang membersihkan laman rumah sebelum ke luar rumah untuk melihat apa yang dilakukan.

“Sebaik membuka pintu, saya ternampak seekor gajah berada di hadapan rumah. Haiwan itu melintasi kawasan rumah.

“Memang terkejut sebab tak pernah tengok gajah sedekat ini dan Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Mujurlah haiwan itu hanya melalui kawasan rumah. Saya tidak dapat bayangkan (apa berlaku) sekiranya ia mengganas,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mazlan Mat Jusoh, 53, berkata, dia yang sedang tidur dikejutkan isterinya pada 6 pagi memaklumkan terdapat objek besar melalui belakang rumah mereka.

“Saya segera bangun untuk tengok objek dimaksudkan isteri dan terkejut melihat gajah lalu di hadapan rumah.

“Sebaik ia beredar, saya segera membuat pemeriksaan dan mendapati pagar rumah serta kereta rosak.

“Kejadian itu menyebabkan saya menanggung kerugian hampir RM1,000 selepas sebahagian pagar dan keretanya dirosakkan haiwan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman melahirkan rasa lega apabila gajah yang memasuki kawasan kampung berkenaan berjaya ditangkap.

Katanya, setakat ini, lima rumah penduduk mengalami kerosakan pada pagar akibat serangan gajah itu.

“Selain itu, sebuah kereta milik penduduk turut mengalami kerosakan dan kita akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, gajah betina yang dianggarkan seberat dua tan berjaya ditangkap kira-kira 10 pagi tadi.

Katanya, gajah liar yang dipercayai berusia berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu.

“Gajah itu dikesan masuk ke kampung berkenaan hari ini dan berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali,” katanya.

Gajah yang memasuki kawasan Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Gajah yang memasuki kawasan Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Sumber: My Metro