Penempatan Rendah Di Rantau Panjang, Pasir Mas Mula Dinaiki Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Penempatan rendah di daerah ini dan Pasir Mas sudah mula banjir pagi ini selepas menerima taburan hujan yang tinggi, selain peningkatan paras air Sungai Golok.

Antara kawasan yang sudah digenangi air ialah Kampung Kubang Pak Itam di Pasir Mas, Kampung Gual To’Deh, Kampung Tersang, Kampung Lachang, Kampung Bongor, Kampung Pengkalan Rakit dan Kampung Luar, di sini.

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi tahap bahaya dengan bacaan 9.12 meter setakat 11.15 tengah hari, hari ini.

Rekod paras air Sungai Golok sebelum ini menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

Seorang mangsa, Sharifah Ramlah Syed Abdullah, 46, ketika dihubungi berkata, dia tidak tidur lena malam tadi kerana air mula naik dengan mendadak susulan peningkatan paras air di sungai berdekatan kediamannya.

“Saya hanya tidur-tidur ayam sahaja malam tadi, apabila air dilihat membanjiri perkarangan rumah sekitar 5 petang semalam.

“Saya sudah dapat mengagak air naik lebih tinggi pada sebelah malam, dan tekaan ini tepat apabila bahagian dapur rumah sudah dinaiki air pagi ini,” katanya yang menetap berdekatan Sungai Golok.

Sharifah Ramlah berkata, selain melihat situasi semasa, dia juga merujuk kepada laman sesawang disediakan untuk mengetahui informasi semasa paras air bagi memudahkannya bertindak awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Banjir kali ini agak lewat berbanding tahun sebelumnya. Biasanya dalam tempoh sebegini, sudah berlaku gelombang pertama atau kedua,” katanya.

Sementara itu, peniaga di Pasar Pekan Rantau Panjang, Azahari Abdullah, 51, mengakui mula resah melihat keadaan cuaca yang hujan tanpa henti serta bersedia untuk mengemas premis jualan pakaian miliknya.

“Jika penempatan rendah sudah digenangi air, biasanya hanya mengambil masa sehari atau dua hari sahaja untuk air membanjiri pekan, justeru operasi perniagaan akan ditutup sepenuhnya berikutan semua jalan utama ke sini digenangi air.

“Namun, saya masih berharap supaya peningkatan air sungai tidak berlarutan seterusnya pekan bebas daripada banjir sebagaimana yang berlaku pada minggu-minggu lalu,” katanya.

Sumber: My Metro