Penerbangan MH122 Patah Balik Ke Sydney, Seorang Penumpang Lelaki Ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Polis Persekutuan Australia (AFP) menahan seorang penumpang yang didakwa mencetuskan ‘gangguan’ di dalam pesawat Malaysia Airlines MH122 ketika dalam penerbangan.

AFP dalam satu kenyataan disiarkan dalam laman sesawangnya berkata, penumpang lelaki berumur 45 tahun itu ditahan tanpa sebarang insiden, dan dijangka didakwa lewat malam ini.

“Penumpang itu telah dipindahkan dari pesawat. Tiada ancaman besar kepada orang ramai,” menurut kenyataan berkenaan.

Sambil menjelaskan pihaknya tidak akan mendedahkan butiran operasi, AFP berkata, pelan tindak balas kecemasan telah dilaksanakan dan lelaki itu dipindahkan sebaik saja langkah berkenaan dianggap selamat untuk penumpang lain serta anak kapal.

Terdahulu, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan, pesawat MH122 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke Kuala Lumpur, terpaksa berpatah balik pada pertengahan penerbangan kerana ada penumpang yang mencetuskan ‘gangguan’.

“Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk kembali ke Sydney. Penerbangan yang membawa 194 penumpang dan lima anak kapal itu mendarat dengan selamat pada jam 3.47 petang waktu tempatan,” menurut kenyataan itu.

Satu klip video dipaparkan dalam aplikasi X oleh seorang individu yang mendakwa berada dalam penerbangan itu, menunjukkan beberapa anak kapal cuba mententeramkan seorang lelaki selepas dia dilihat mula menjerit ke arah penumpang lain.

– BERNAMA