Penerbangan Terus Dijangka Lonjak Pelancongan Pulau Redang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Industri pelancongan Pulau Redang dijangka bertambah rancak dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Pulau Redang menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan, SKS Airways.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata perkhidmatan itu membolehkan pelancong memiliki pilihan sama ada menggunakan jalan laut atau udara untuk ke pulau berkenaan.

“Apabila pintu sempadan negara dibuka kelak, kita jangka lebih ramai pelancong dari luar negara akan ke Pulau Redang dengan adanya akses melalui udara, selain satu lagi operator, syarikat penerbangan sedia ada Berjaya Air.

“Secara tidak langsung, ia dapat memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya selepas menyambut penerbangan sulung Twin-Otter DCH6-300 yang membawa 19 penumpang, hari ini.

Pesawat itu bertolak dari LTSAAS pada jam 8.30 pagi dan tiba di Padang Terbang, Pulau Redang kira-kira jam 9.50 pagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad.

Ariffin berkata, perkhidmatan penerbangan terus itu menjadikan sektor pelancongan pulau yang terpaksa ditutup pada musim tengkujuh dijangka dapat beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Hasmadi berkata, pihaknya memilih Pulau Redang kerana yakin dengan prospek pelancongan yang besar dan permintaan tinggi.

“Selain Pulau Redang, kami juga menawarkan penerbangan terus ke Pulau Pangkor dan akan diperluas ke Pulau Tioman pada suku kedua tahun ini.

“Untuk Pulau Redang, setakat ini kekerapan hanya satu penerbangan sehari dan akan ditambah kepada dua kali sehari bermula 7 Mac depan,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN