MARAN: Usaha Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) secara menyeluruh di negeri ini amat dihargai penerima.
Penerima insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Cik Norliyana Omarudin, 18, berkata, pemberian tunai mengikut A yang diperoleh memberi semangat kepadanya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Saya adalah pelajar Sekolah Menengah Agama Maran dan dapat 8A dalam SPM tahun lalu. Saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Akaun di Politeknik Ungku Omar tidak lama lagi.
“Saya gembira kerana dapat inisiatif kecemerlangan daripada Kerajaan Negeri, terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar Pahang dan seluruh kepimpinan negeri yang sentiasa peka dengan keperluan dan kebajikan pelajar di negeri ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Guru Takmir di Surau Gedung Luit dan Paya Cedong Maran, Puan Khimsiah M. Taeh, 65, turut menzahirkan rasa syukur di atas penyerahan bantuan yang diterima hari ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan nasib kami. Sudah dua tahun tidak dapat mengajar kerana wabak COVID-19.
“Apa yang diharapkan ialah keadaan kembali pulih seperti biasa dan kita semua dapat kembali mengajar dan menuntut ilmu agama bersama-sama,” katanya.
Seorang lagi guru Takmir di Surau Sri Keramat dan Masjid Kampung Luit,
Rokiah Mohd Noh, 63, bersyukur atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada mereka.
“Sepanjang wabak melanda, kami tidak dapat mengajar dan tiada mata pencarian.. jadi bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban kami semua.
“Terima kasih Kerajaan Negeri terutamanya YAB Menteri Besar Pahang yang sentiasa memikirkan keadaan kami terutamanya ketika sukar kini,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA