Penerima hati pertama negara, meninggal dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Selepas 18 hari tidak sedarkan, penerima hati pertama negara, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan penderma hatinya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang menerima khabar sedih itu daripada bapa Mohd Afiq, Muhamad Zaini Rahim, 50, subuh tadi.

Wan Mohd Hafizam berkata, dia baru saja menziarahi keluarga Mohd Afiq yang sedang membuat persiapan untuk pengebumiannya di Sungai Petani, Kedah.

“Jenazah Mohd Afiq akan dikebumikan di Kampung Masjid Tikam Batu, Kedah, hari ini, untuk urusan pengebumian.

“Saya turut akan mengiringi mereka untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

“Sebagai penderma hatinya saya turut terkesan dengan pemergiannya. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan Muhamad Zaini tidak berhasil apabila panggilan tidak dijawab.

Mohd Afiq Ikmal menerima rawatan di Hospital Selayang 13 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati.

Pemuda itu mencatat sejarah negara apabila menjadi penerima hati pertama di Malaysia pada 1999 selepas menerima hati daripada Wan Mohd Hafizam.

Wan Mohd Hafizam yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Mohd Afiq Ikmal membuat keputusan itu atas dasar kemanusiaan dan mahu membantu pemuda itu yang mengalami masalah hati bengkak ketika usianya 14 bulan.

Keberanian Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menjadi penderma hati pertama Malaysia itu sekali gus membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.

Sumber: My Metro