Penerima RTK Dinasihat Tidak Jual Tanah Yang Diterima

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB : Penerima Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dinasihatkan supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana tanah merupakan aset penting dan bernilai tinggi bagi semua pihak.

“Sukacita saya ingin mengingatkan para penerima agar tidak menjual hak pemilikan tanah ini kepada orang lain demi keuntungan jangka masa pendek.

“Saya ingin menasihatkan semua agar menjaga aset tak alih ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat kelulusan semasa Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis Borang 5A) di Kampung Tok Macang di Dewan Najib Razak di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga cuba memastikan pemilikan tanah berkaitan dapat diselesaikan dengan segera.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan surat kelulusan semasa Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis Borang 5A) di Kampung Tok Macang di Dewan Najib Razak, Raub.

“Tanah ialah aset penting dan bernilai bagi sesiapa sahaja. Ia adalah warisan, hasil kepada segala kerja keras yang mesti sentiasa dipertahankan.

“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini. Kerajaan Negeri seboleh-bolehnya cuba pastikan sebarang isu melibatkan hakmilik dapat diselesaikan dengan kadar segera dan mudah.

“Kerajaan Negeri mahupun saya sendiri secara peribadi, sentiasa berusaha untuk memastikan urusan pemberimilikan diuruskan dengan kaedah terbaik demi manfaat semua pihak,” katanya.

Seramai 67 penerima telah menerima Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis Borang 5A) yang telah diusahakan sejak 2014.

Beliau berharap para penerima dapat memahami punca kelewatan berkaitan penyerahan borang 5A ini.

“Diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memahami satu perkara iaitu urusan pemberimilikan tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang rumit kerana berkaitan undang-undang tanah. Maka, ia perlu diuruskan dengan berhati-hati dan teliti,” katanya.

Menurut beliau, bermula Ogos 2021, Kerajaan Negeri telah menukarkan nama Rancangan Tanah Kelompok (RTK) kepada Skim Tanah Rakyat (STR) selain Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) turut ditubuhkan, dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Timur, Tengah, dan Barat.

“Penukaran nama Rancangan Tanah Kelompok (RTK) kepada Skim Tanah Rakyat (STR) ialah usaha Kerajaan Negeri menyahut permintaan rakyat dalam mempercepatkan proses pemberimilikan tanah kerajaan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA