Penerima Vaksin Sinovac Dibenarkan Tunai Haji

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA, 13 Julai – Usaha Kerajaan Malaysia berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi agar bakal jemaah haji dari negara ini yang telah menerima vaksin Sinovac diberi kebenaran menunaikan rukun Islam kelima itu akhirnya berhasil sekali gus memberi khabar gembira buat rakyat di negara ini.

Berkongsi kegembiraan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Sinovac telah dimasukkan ke dalam senarai yang diterima negara terbabit, di mana sebelum ini yang dibenarkan hanya Pfizer dan AstraZeneca.

“Tidak ada lagi kerisauan kepada ahli keluarga (baca; rakyat Malaysia) kita yang khuatir tidak dapat tunaikan haji dan umrah kerana diberi vaksin tersebut.

“Fokus kita pada ketika ini adalah untuk terus membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk pastikan lebih ramai mendaftar dan hadir untuk vaksinasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan di media sosialnya, semalam.

Katanya, perkara tersebut bolehlah dihebahkan kepada semua mereka yang berhasrat hendak melakukan haji dan umrah tersebut.

“Sama-sama kita mendoakan urusan jemaah haji Malaysia yang telah diluluskan untuk menunaikannya pada tahun ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin imuniti kelompok di negara ini mampu dicapai sebelum akhir tahun ini dengan berlaku peningkatan di seluruh negara di mana 12.2 juta direkodkan telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

Terkini Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, seramai 405,000 rakyat negara ini telah pun menerima suntikan.

Sumber: TRDI News