Peneroka Hanya Perlu Bayar RM250 – RM350

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Dana RM8.3 billion untuk penghapusan hutang peneroka sudah memadai kerana itu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang, iaitu RM 12.1 billion.

Presiden Majlis Belia FELDA, Muhammad Fadzli Hassan, berkata pihaknya sudah berbincang terhadap kadar penghapusan hutang wajar diberikan kepada peneroka di bawah Program Wajar.

Katanya, selepas mengambil kira semua faktor, kadar penghapusan hutang yang wajar hanya RM8.3 billion dan selebihnya dibayar oleh peneroka.

“Peneroka hanya perlu membayar RM25 sehingga RM30 per ekar dan ada yang sudah pun membayar sejak September tahun lalu.

“Jika peneroka mempunyai tanah berkeluasan 10 ekar maka mereka akan bayar dengan kadar RM250 sehingga RM350 sebulan.

“Menerusi Program Wajar, kami mengambil kira kemampuan peneroka dan sudah membuat perincian dengan baik,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Fadzli berkata, FELDA tidak mempunyai perancangan lagi untuk membuat penghapusan hutang kali kedua terhadap peneroka, selepas selesai menghapuskan RM8.3 billion hutang.

Katanya, berkenaan dengan isu penghapusan hutang peneroka pada tahun 2021 yang dilapor dibatalkan, beliau menegaskan program tidak dibatalkan, malah sudah selesai dan berjaya dilaksanakan.

Beliau mengulas laporan pelupusan hutang FELDA berpandukan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bagi soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari di Dewan Rakyat.

– BERITA HARIAN