PARIS: Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memberitahu pengadil bahawa mereka tidak boleh menghentikan perlawanan bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
Tidak seperti Liga Perdana Inggeris yang membenarkan tindakan itu, namun amalan itu tidak mematuhi peraturan ditetapkan FFF, lapor beberapa agensi media selepas badan induk berkenaan menghantar emel kepada pengadil, kelmarin.
Menurut laporan, badan induk itu mendapati perlawanan akan terganggu sekiranya pengadil memberhentikan perlawanan untuk pemain berbuka puasa.
“Ideanya adalah ada masa untuk segala-galanya. Masa untuk bersukan, masa untuk mengamalkan agama masing-masing,” kata Ketua Suruhanjaya Pengadil FFF, Eric Borghini kepada AFP.
Dia, berkata persekutuan juga menyedari beberapa perlawanan peringkat amatur dihentikan untuk membolehkan pemain yang berpuasa untuk berbuka.
Katanya, perkara berkenaan tidak dibenarkan dalam peraturan sambil menekankan bahawa ia termasuk menghormati prinsip sekularisme dalam bola sepak.
Bola sepak Inggeris mengambil keputusan sebaliknya apabila membenarkan perlawanan dihentikan seketika pada bulan Ramadan, di mana umat Islam menahan diri daripada makan dan minum bermula dari matahari terbit hingga terbenam. – AFP
Sumber: BERITA HARIAN