Kuantan: Pengamal perubatan tradisional yang meninggal dunia dengan kesan tembakan di badan, kelmarin dikatakan aktif berkongsi kaedah rawatannya di media sosial, kebelakangan ini.
Abangnya, Mohammad Redzuan Nasri, 37, berkata, sebelum itu adiknya, Mohamad Abdul Rahim, 31, tidak memuat naik perawatan yang dilakukan di mana-mana platform media sosial.
“Hanya baru-baru ini dia aktif berkongsi di media sosial tapi saya tidak ingat bila arwah mula menyiarkannya terutama di Facebook.
“Rawatan biasanya dilakukan di rumah dan sebenarnya arwah berpengalaman 10 tahun dalam bidang ini dan ada ketikanya berubat hingga ke luar daerah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas penerimaan keluarga terhadap kematian arwah, Mohammad Redzuan berkata, ibunya, Norhan Adam, 60, masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.
“Ibu tiada selera makan kerana teringatkan arwah dan perlu sentiasa ditenteramkan oleh adik-beradik.
“Kami sememangnya tidak sangka kejadian ini berlaku kepada arwah,” katanya.
Dalam kejadian kelmarin, Mohamad Abdul Rahim ditemui maut di rumah sewanya di Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, di sini dengan kesan tembakan di badan.
Siasatan awal polis mendapati punca kematian akibat dendam. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: My Metro