Penganggur Didakwa Culik Albertine Leo, Miliki Bahan Penganiayaan Seksual

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas lapan pertuduhan culik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, pada bulan lalu.

Tertuduh, Leang Win Son, 31 membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membaca pertuduhan dalam bahasa Mandarin di dua kamar mahkamah berbeza di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman dan Rasidah Roslee.

Mengikut kertas pertuduhan, di hadapan Rasidah, Win Son yang belum berkahwin didakwa menculik Albertine Leo daripada ibunya di Eco Gelleria, Jalan Eco Botani, Iskandar Puteri Johor pada 20 Julai lalu pada jam 8.30 malam.

Win Son juga didakwa melakukan dengan niat curang melakukan pengurungan salah terhadap kanak-kanak itu yang tidak diketahui oleh pihak polis di sebuah bilik di hotel di Batang Kali, Hulu Selangor pada 23 Julai lalu, lebih kurang jam 4.45 pagi.

Pendakwaan dibuat dibawah seksyen 363 kanun keseksaan dan seksyen 346 kanun keseksaan.

Sementara itu, di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, di hadapan Hakim Siti Noraida, Win Son didakwa enam pertuduhan mengumpul 5,317 gambar, video dan anime bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam dua kad SSD, hard disk dan telefon bimbit

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, Jalan Bunga Raya, Taman Sri Kulai, Kulai Johor, pada 24 Julai lebih kurang 4 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan.

Manakala, dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit di bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Tertuduh yang juga anak tunggal turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badan supaya dapat dilihat olehnya dengan cara membuka pakaian kanak-kanak itu di bilik hotel yang sama antara jam 12.30 tengah hari, 22 Julai lalu hingga 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan tertuduh diwakili peguam, Nur Zafirah Norizan.

Tertuduh kemudianya diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM50,000 serta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah, jika ada.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 September depan bagi serahan dokumen.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Siti Noraida, ibu kanak-kanak mangsa penculikan itu, Leo Qieo Xin, 37, dilihat turut hadir bersama rakannya dan berada di tempat duduk orang awam dalam mahkamah bagi mendengar prosiding itu.

Selesai prosiding di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, tertuduh dibawa terus ke Mahkamah Majistret Kulai untuk menghadapi tujuh lagi pertuduhan difahamkan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

– SINAR HARIAN