Penganggur mengamuk di kedai serbaneka didakwa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka di sini pada Khamis lalu telah dihadapkan atas tiga pertuduhan mencederakan dan melakukan kekerasan terhadap tiga individu di Mahkamah Majistret.

Tertuduh, Umar Isa Hafizi Ahmad Faris,25 sekadar mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencederakan pekerja kedai serbaneka tersebut, Saufia Alias, 23, dan seorang pelanggan , Rashdan Rosman,28, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 2:10 petang,27 Mei lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Umar Isa Hafizi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi pelanggan, Nurul Alia Amira, 23, di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda maksimum RM 1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nordiana memerintahkan Umar Isa Hafizi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor selain menetapkan sebutan semula pada 29 Jun depan.

Sumber: Kosmo Online.