Penganjur AKM Kena Kompaun RM1,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000 berikutan kegagalan memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan pada hari pertama acara berkenaan semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC juga ditutup serta-merta bermula petang ini.

Beliau berkata, kompaun RM1,000 itu adalah nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi, yang digunapakai selepas pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum penganjuran majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung dari 9 hingga 12 Disember ini di KLCC.

“Penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terbabit, dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama ini sepatutnya memberikan contoh yang terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai; bukan sahaja dari aspek pelaksanaan program, tetapi juga aspek pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Berhubung, penutupan kaunter pembayaran saman PDRM, beliau berkata, maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak berkenaan.

Khairy berkata, kejadian itu amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memastikan program berkenaan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat selain aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir membawa risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

“KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang dikenakan ke atas rakyat,” katanya.

Semalam tular di media sosial gambar dalam dewan pameran di KLCC yang memaparkan pematuhan SOP yang longgar sehingga mendapat kritikan ramai pengguna internet dan pemimpin politik.

Sumber: Berita Harian