Penganjuran Kejuaraan Silat Dunia di Melaka Terbaik Setakat Ini – Prabowo

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MELAKA – Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 yang berakhir Ahad lepas disifatkan sebagai penganjuran terbaik dalam sejarah setakat ini, menurut Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) Datuk Seri Prabowo Subianto.

Prabowo, dalam satu kenyataan hari ini berkata Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah meletakkan satu tanda aras terhadap Kejuaraan Dunia akan datang yang dilihat memberi cabaran kepada semua tuan rumah pada edisi seterusnya.

“Kejuaraan pada kali ini sangat teratur, berdisiplin dan meriah. Ia juga megah dan upacara pembukaannya sangat bagus, Alhamdulillah pelaksanaannya sangat baik. Tahniah kepada Pesaka terutama Presidennya Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pesaka telah menjadikan kejuaraan ini sebagai tanda aras yang sangat tinggi untuk penganjur selanjutnya. Kalau tidak salah kejuaraan seterusnya di Indonesia, berkemungkinan besar di Jakarta. Bererti kita harus lebih bagus daripada di sini,” katanya.

Pada Kejuaraan Dunia kali ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh menyaksikan negeri bersejarah itu telah dipilih sebagai tuan rumah yang baharu selepas Malaysia memasuki fasa peralihan endemik.

Ia berikutan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 yang pada asalnya dijadualkan di Sarawak pada 2020 terpaksa ditunda kira-kira dua tahun apabila hampir seluruh dunia melaksanakan sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.

“Penyertaan 40 negara pada kejohanan itu juga menyaksikan jumlah terbanyak negara peserta sepanjang sejarah pencak silat dunia, tahniah dan terima kasih kerana menyediakan pertandingan yang sangat baik selain sokongan sangat besar daripada Kerajaan Malaysia, dan juga Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, bersempena Kejuaraan Dunia kali ini, Persilat telah mengadakan kongres dan menyaksikan Prabowo yang juga Menteri Pertahanan Indonesia itu dipilih semula sebagai presiden.

“Saya sebenarnya telah minta diganti dan meminta Malaysia menggantikan saya tetapi mereka minta saya terus menjadi presiden sekali lagi… saya akhirnya menerima permintaan itu, ia satu penghormatan dan juga amanah bagi memastikan seni bela diri ini terus dipelihara.

“Pencak silat ini warisan leluhur, warisan nenek moyang. Ini budaya nusantara, budaya Melayu. Kita sebagai rumpun Melayu wajib menjaga budaya ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Persilat yang kini memiliki 85 negara anggota menyasarkan sukan itu dipertandingkan sekurang-kurangnya pada Olimpik 2028.

“Oleh itu ahli-ahli gabungan Persilat terutama empat negara yang merupakan badan pendirinya, mesti bekerja keras untuk mencapai matlamat itu kerana banyak syarat yang harus dipenuhi dan  paling penting 85 persekutuan itu harus berdaftar dan diterima oleh Majlis Olimpik negara masing-masing.

“Syarat untuk menyertai Olimpik harus ada 75 negara berdaftar dengan IOC (Majlis Olimpik Antarabangsa). Itu bukan kerja mudah,” katanya.

Sementara itu, Prabowo dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGMS) yang membawa gelaran Datuk Seri oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini baru-baru ini, bagi menghargai sumbangannya terhadap perkembangan dan pembangunan silat di seluruh dunia.

Sumber : BERNAMA