![](https://www.manis.fm/wp-content/uploads/2025/02/YADIM.jpg)
TANAH MERAH – Polis mengesahkan kematian Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu, Nasrul Hadi Saidi, 48, berpunca daripada serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Tanah Merah.
“Pada Ahad lebih kurang jam 8.24 malam, polis telah menerima maklumat awal tentang kejadian seorang lelaki tidak sedarkan diri semasa dalam perjalanan dari Kedah ke Terengganu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan Pengarah Yadim Terengganu dan menurut pengadu semasa dalam perjalanan bagi menghadiri Majlis Kalam Madani di Besut, mangsa telah terkena serangan jantung sebanyak dua kali,” katanya semasa dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, mangsa telah terkena serangan jantung sebanyak dua kali.
Ujarnya, serangan kali kedua telah menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan.
Mohd Haki memberitahu, namun setelah pihak perubatan memberikan rawatan, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Menurut pengadu, arwah pernah terkena serangan jantung pada tahun 2019 dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu dengan memasang ‘stent’ pada jantung.
“Kami seluruh warga IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tanah Merah mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN