PARIS – Lionel Messi kembali menjalani latihan bersama Paris Saint-Germain, enam hari selepas menerima penggantungan kerana melakukan perjalanan ke Arab Saudi tanpa kebenaran kelab.
“Leo Messi kembali menjalani latihan pada pagi Isnin,” kata kelab itu di laman Twitter rasmi dengan sekeping gambar aksi pemain berusia 35 tahun itu.
Penampilan kembali Messi itu memberi bayangan awal yang dia bakal diturunkan pada perlawanan di laman sendiri menentang pasukan sedang bergelut di zon penyingkiran, Ajaccio, awal pagi Ahad ini.
PSG kini semakin hampir untuk mempertahankan gelaran Ligue 1, mendahului enam mata daripada Lens dengan saingan berbaki empat perlawanan saja lagi.
Sebelum ini, Messi dikenakan penggantungan oleh kelab dimiliki Qatar itu selepas gagal menghadiri latihan, Isnin lalu.
Malah, pemenang Ballon d’Or itu melakukan perjalanan ke Arab Saudi tanpa kebenaran PSG untuk memenuhi komitmen sebahagian kontraknya bersama pejabat pelancongan negara itu.
Messi kemudian memuatnaik permohonan maaf menerusi satu video di Instagram kepada 458 juta pengikutnya.
“Saya melakukan perjalanan ke Arab Saudi selepas membatalkannya sebelum ini. Kali ini, saya tidak boleh membatalkannya lagi.
“Saya memohon maaf dan saya akan menunggu untuk melihat apakah keputusan yang akan diambil kelab,” katanya.
Isu berkenaan juga menambahkan lagi kemungkinan yang Messi tampak tidak akan kekal di PSG apabila kontraknya dua tahunnya bersama kelab berakhir selepas musim ini.
– BERITA HARIAN