KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengumumkan pengecualian bayaran air kepada pengguna bil tidak melebihi RM30 sebulan sepanjang Ramadan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia membabitkan 146,660 pengguna dengan kos sebanyak RM3 juta.
“Kita akan menghadapi bulan Ramadan beberapa hari sahaja lagi. Sempena Ramadan, kerajaan negeri melihat perlu untuk pengguna yang menggunakan AKSB tidak lebih RM30 sebulan dikecualikan bayaran dalam tempoh sebulan.”
“Ia membabitkan 146,660 penggunaan akaun dengan kos keseluruhan sebanyak RM3 juta,” katanya ketika membuat pengumuman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
Persidangan DUN Kelantan ke-14 penggal kelima yang bermula Isnin lalu ditangguh hari ini kepada tarikh yang akan diberitahu kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan kerajaan negeri memberi potongan bil air sebanyak 50 peratus kepada pengguna yang mengalami masalah air di Kelantan.
Beliau berkata, potongan itu bagi meredakan kemarahan rakyat negeri ini yang terkesan dengan masalah air yang melanda sejak beberapa tahun yang lalu.
Katanya, seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang terdapat 3,000 keluarga termasuk 1,500 di Bandar Utama yang terkesan dengan masalah air sejak lebih setahun yang lalu.
Sumber: BERITA HARIAN