Pengguna LPT Disaran Buat Persediaan Awal Pulang Menyambut Aidiladha

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menyarankan semua pengguna lebuh raya yang merancang untuk menyambut Aidiladha di Pantai Timur agar bersiap sedia untuk menempuh perjalanan yang lebih panjang dan menjangkakan berlakunya kesesakan trafik.

“Kami menjangkakan lebih daripada 55,000 kenderaan akan menggunakan laluan LPT2 pada setiap hari puncak di antara 8 hingga 12 Julai berbanding 18,000 kenderaan pada hari-hari biasa,” kata Pengarah LPT2 Sdn Bhd, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Sehubungan itu, kekerapan rondaan oleh LPT2Ronda akan ditambah bagi memberi bantuan kepada kenderaan dan pengguna yang memerlukan bantuan di lebuh raya. Sepanjang tempoh perayaan Aidiladha ini juga, kira-kira 50 anggota LPT2Ronda akan ditugaskan bagi meningkatkan rondaan, terutama di lokasi kritikal di Lebuhraya LPT2 antara sepanjang 184 kilometer di antara Jabor dan Kuala Terengganu.

Sekiranya pengguna lebuh raya memerlukan bantuan di LPT2, sila hubungi talian hotline LPT2 di 1800-88-0220. Maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter LPT2trafik, papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen-stesen radio utama.

Justeru, pengguna Lebuhraya LPT2 disaran supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan Waze atau Google Map sepanjang perjalanan mereka. LPT2 juga mengingatkan pengguna lebuh raya untuk memastikan kad Touch ‘n Go mereka aktif dan mempunyai baki yang mencukupi untuk melancarkan transaksi tol sebelum memulakan perjalanan mereka. Kiosk tambah nilai kad Touch ‘n Go juga disediakan di semua plaza tol dan semua kawasan rehat di LPT2 untuk membolehkan pengguna menambah nilai kad mereka.

Pengguna Lebuhraya LPT2 juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jarak jauh. Sila patuhi had laju, elakkan mengekori kenderaan terlalu rapat dan berehat sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) pada bila-bila masa yang diperlukan.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM