Pengguna perlu bijak pilih peranti, pelan telekomunikasi bersesuaian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Pengguna peranti dan juga pelan telekomunikasi perlu bijak dalam membuat keputusan untuk memilih produk yang bersesuaian dengan mereka bagi mendapatkan pengalaman digital yang terbaik.

Pengurus Kanan Bisnes Pengguna U Mobile Sdn Bhd., Affandy Johan, berkata, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan tersebut yang mana ia bergantung dengan gaya hidup dan juga keperluan masing-masing.

“Pengguna perlu bertanya pada diri sendiri apakah kegunaan peranti itu dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya seorang jurugambar perlu memilih peranti yang mempunyai kamera yang bagus untuk kerja mereka manakala peminat program tontonan pula perlu memiliki skrin peranti yang besar dan mempunyai resolusi tinggi bagi pengalaman menonton yang menyeronokkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘Internet dan Anda’ yang disiarkan menerusi Facebook Bernama, malam ini.

Tambah Affandy, pengguna juga tidak semestinya memerlukan peranti yang terlalu canggih, sebaliknya hanya memadai dengan membeli peranti julat pertengahan yang mana ia juga mempunyai banyak fungsi yang diperlukan.

“Ketika ini, kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk menaik taraf jaringan telekomunikasi negara dan salah satunya adalah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Melalui pelan ini juga terdapat Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang mana pengguna boleh memilih peranti 4G terbaharu dan sesuai bagi kegunaan seharian mereka,” katanya.

Beliau juga menerangkan bahawa pengguna boleh memilih pakej bersesuaian dengan gaya hidup dan keperluan mereka dengan melayari https://www.u.com.my/

— BERNAMA