Penggunaan Dalam Urusan Rasmi Angkat Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan di luar negara seperti ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangkok, Thailand akan membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa itu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata kenyataan Perdana Menteri itu patut menjadi sumber iltizam semua penjawat awam di dalam dan luar negara agar menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris bagi tugasan rasmi mereka.

“Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 bertajuk Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam telah menyebut galakan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat di peringkat antarabangsa dalam Bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris.

“Untuk perjanjian peringkat antarabangsa pula, Bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam Bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan.

“Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 dengan tajuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam lawatannya ke Thailand berkata Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Beliau turut dilapor telah menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand selain tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti bahasa itu boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

Menurut Awang Sariyan, DBP dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah mengusulkan supaya Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa rasmi ASEAN sejak tahun 2000 dan berharap perkara itu boleh direalisasikan.

“Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam serta di sebahagian Thailand dan Kemboja, Bahasa Melayu juga difahami di negara ASEAN yang lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA