Penggunaan Fasiliti Pergigian Kesihatan Di Pahang Masih Rendah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kadar penggunaan fasiliti pergigian kerajaan oleh penduduk Pahang adalah masih rendah, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata statistik pada 2022 mendapati 24.6 peratus atau satu dalam empat penduduk sahaja yang menggunakan perkhidmatan kesihatan pergigian yang disediakan di seluruh daerah.

“Kita menyeru supaya rakyat lebih sedar tentang keperluan menjaga kebersihan dan membuat pemeriksaan gigi, sekurang-kurangnya sekali setahun iaitu pada ulang tahun kelahiran.

“Ingat hari jadi, ingat doktor gigi kerana pencegahan dan rawatan awal dapat mengelakkan masalah pergigian yang serius,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Pahang di Kota SAS di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata terdapat 73 fasiliti kesihatan pergigian primer yang menyediakan rawatan asas pergigian di Pahang dengan 64 daripadanya beroperasi setiap hari manakala bakinya adalah perkhidmatan diberikan secara lawatan.

Tiga klinik pergigian bergerak di Kuantan, Maran dan Lipis pula memberikan perkhidmatan melalui Program Kesihatan Pergigian Jangkau Luar selain terdapat lapan jenis perkhidmatan kepakaran pergigian disediakan di klinik dan hospital di Pahang.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, Dr Nor Azimi berkata mereka bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti agensi pendidikan, institusi agama dan agensi berkaitan Orang Asli.

Selain itu, Dr Nor Azimi mengingatkan ibu bapa untuk turut menitikberatkan kesihatan gigi kepada anak bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah karies gigi, iaitu masalah pergigian utama dihadapi, yang boleh dielakkan dengan amalan penjagaan kesihatan gigi yang betul.

Katanya, Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi kanak-kanak prasekolah pada 2015 mendapati 80.5 peratus kanak-kanak berusia lima tahun di negeri ini mengalami karies gigi, iaitu kelima tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, tinjauan sama bagi murid sekolah pada 2017 pula mendapati 40.1 peratus murid berumur 12 tahun di negeri ini mempunyai kerosakan gigi, juga kelima tertinggi di negara.

— BERNAMA