Penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus, dijangka terus meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Jumlah kes Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) termasuk pesakit yang sudah disahkan, dalam siasatan dan menunggu keputusan sudah mencecah 1,200 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu yang tertinggi sejak pandemik bermula tahun lalu, malah Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menambah kapasiti katil ICU secara berfasa untuk menampung keperluan.

“Terkini dalam tempoh tiga minggu Mei 2021, sebanyak 439 katil tambahan disediakan (dan), secara keseluruhan, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 buat masa ini mencapai 1,114 katil.

“Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit Covid-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan Covid-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Noor Hisham berkata, keadaan itu amat menggusarkan kerana walaupun jumlah katil ICU sudah ditambah, kadar penggunaannya masih di tahap melebihi 100 peratus, yang menyebabkan ada pesakit terpaksa dirawat di wad biasa.

“Dengan pertambahan kes baharu harian yang mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.

“KKM akan terus mengenal pasti lebih banyak ruang dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan.

“Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sumber tenaga manusia adalah antara cabaran utama dan ramai anggota kesihatan dimobilisasi untuk menjalankan lain fungsi dalam pengurusan pandemik itu.

“Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital dikerahkan untuk perawatan pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk kekal berada di rumah jika tidak mempunyai urusan penting di luar.

“Pastikan anda mematuhi SOP (prosedur operasi standard) supaya diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita,” katanya diikuti tanda pagar ‘lockdown’ kendiri dan bantu sistem kesihatan negara.

Sumber: My Metro