Penghulu, ketua kampung jalan kaki bantu daftar vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Berjalan kaki rumah ke rumah dan memeriksa aplikasi WhatsApp setiap jam menjadi rutin kepada penghulu dan lapan ketua kampung di Mukim Dong, Raub dalam memastikan setiap penduduk bawah jagaan mereka menerima vaksin Covid-19.

Sejak pertengahan bulan lalu, mereka bersama-sama dengan kakitangan pejabat kerajaan meredah panas untuk bertemu seramai mana penduduk yang boleh bagi bertanya, jika mereka sudah mendaftar sebagai penerima vaksin dan jika belum, membantu mereka membuat pendaftaran itu.

Bagaimanapun, Penghulu Mukim Dong Mohd Nor Baharum, 40, berkata rutin itu terpaksa dihentikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka terpaksa beralih kepada cara baharu, iaitu dengan menggunakan media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Saya memuat naik hebahan di beberapa medium media sosial tentang usaha kami mahu mendaftarkan penduduk Dong untuk menerima vaksin pada Khamis lalu, yang disertakan dengan link (pautan) nombor telefon WhatsApp milik lapan tok ampat (ketua kampung) di mukim ini.

“Tak sangka, selepas hebahan dibuat, kami menerima banyak permohonan bukan hanya daripada orang dalam Dong, tetapi juga dari anak muda yang sudah berhijrah yang tidak dapat pulang kerana PKP yang memohon supaya didaftarkan ibu bapa mereka,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Nor berkata dalam tempoh dua hari, mereka menerima lebih 80 permohonan menerusi WhatsApp dan ketua kampung yang terbabit akan menyalin semula maklumat diterima ke borang disediakan untuk diserah kepada jabatan kerajaan berkaitan bagi didaftarkan di laman sesawang Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP).

Katanya inisiatif “membuka pendaftaran secara banci dan WhatsApp” itu juga membantu mereka menghampiri sasaran penerima vaksin ditetapkan iaitu 2,157 orang, dan setakat ini lebih 1,500 nama berjaya didaftarkan.

“Kami melakukan perkara ini secara sukarela bagi membantu usaha kerajaan negeri yang mahu seramai boleh penduduk Pahang yang layak membuat pendaftaran. Namun tidak dinafikan, rasa seronok apabila diberikan ucapan terima kasih oleh mereka yang dibantu,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Pasir Bayam Abdul Ghani Nordin, 58, pendaftaran secara manual dari rumah ke rumah sangat membantu kerana beliau boleh “memeriksa” siapa yang belum mendaftar sekali gus bertanya alasan mereka tidak berbuat demikian.

Antara alasan yang banyak diterima ialah tiada telefon pintar atau internet untuk mendaftar di MySejahtera, dengan majoriti mereka sedar akan kepentingan untuk mengambil vaksin bagi mencegah kesan lebih buruk jika dijangkiti dan bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu.

“Setakat ini, Alhamdulillah tidak ada yang terpengaruh dengan cerita tidak benar tentang vaksin yang tersebar di media sosial…cuma mereka tidak ada cara untuk mendaftar (untuk menerima vaksin) dan berterima kasih dengan usaha kita memudahkan urusan itu,” katanya.

Ketua Kampung Lechar, Ishak Ibrahim, 52, pula menyifatkan tindakannya meredah panas bersama-sama kakitangan kerajaan membuat “bancian vaksin” adalah tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan penduduk yang diamanahkan kepadanya.

“Selain itu, kita berasa kasihan juga apabila ada penduduk hanya berkurung mendiamkan diri dalam rumah apabila melihat muka tidak dikenali…sekurang-kurangnya bila nampak kelibat saya bersama, penduduk tahu selamat untuk mereka membuka pintu,” katanya.

Sumber: My Metro