Marang: Seramai 2,300 penghuni Penjara Marang, di sini, menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini.
Program vaksinasi selama tiga hari itu bermula 9 pagi dengan seramai 1,000 penghuni menerima vaksin jenis CanSino pada hari pertama.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, terdapat seramai 300 penghuni dikecualikan daripada menerima vaksinasi pada program berkenaan.
“Mereka yang terbabit dikecualikan buat sementara waktu kerana beberapa faktor seperti tidak menepati syarat ditetapkan termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.
“Bagaimanapun, baki 300 penghuni yang tidak mendapatkan vaksin akan diberikan vaksin selepas mereka menepati syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Penjara Marang, di sini.
Hadir sama, Pengarah Penjara Marang Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Pegawai Daerah Marang Lizan Che Mat.
Menurutnya, kesemua penghuni akan menerima suntikan vaksin dalam usaha membendung penularan Covid-19 di penjara.
“Orang Kena Tuduh (OKT) termasuk penghuni penjara dan Orang Asli akan diberikan suntikan Covid-19 jenis Cansino.
“Terdapat sebanyak 364 kes positif di Penjara Marang sejak penularan Covid-19 di negeri ini. Jangkitan berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di penjara ketat,” katanya.
Sementara itu, penghuni Man (bukan nama sebenar), 34, berkata dia bersyukur kerana menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan.
“Walaupun berada di penjara, saya berasa tidak selamat selagi tidak menerima suntikan vaksin. Kami faham kepentingan vaksin seterusnya berasa lega apabila menerima vaksin sekarang,” katanya.
Abu (bukan nama sebenar), 28, berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak kerana tidak menyisihkan penghuni penjara.
“Walaupun kami berada di penjara, namun tetap diberi keutamaan untuk menerima vaksin sekali gus terhindar daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Sumber: My Metro