Tumpat: Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor di sini, kembali menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti Hari Malaysia, hari ini.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di lokasi itu selepas tidak dapat berkunjung ke kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu kerana penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan di kawasan bebas cukai itu mendapati orang ramai mula ke lokasi itu untuk membeli-belah, namun pada masa yang sama mereka tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Peniaga, Abd Rahim Abu Bakar, 45, berkata, walaupun kawasan berkenaan dibuka sejak seminggu lalu, namun orang ramai mula membanjiri lokasi itu, semalam.
Abd Rahim yang berniaga pakaian dan keperluan rumah berkata, dia bersyukur kerana orang ramai mula datang ke kedainya serta peniaga yang lain sekali gus memberi rezeki kepada mereka.
“Selepas beberapa bulan saya tutup operasi kerana tidak menerima pengunjung dari luar akibat Covid-19, Alhamdulillah dua hari ini ramai yang datang membeli di kedai saya.
“Saya harap mereka menjaga SOP untuk mengekang penularan Covid-19 dan kami sebagai peniaga tidak mahu premis di lokasi ini ditutup sekali lagi kerana tiada pengunjung,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Pengunjung, Azimah Ghazali, 39, yang tinggal di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu berkata, dia datang bersama suami untuk membeli buah-buahan dan makanan ringan.
Katanya, hampir lima bulan dia tidak pergi ke lokasi itu kerana bimbang dengan jangkitan kes Covid-19 yang tinggi.
“Selepas kerajaan mengumumkan mereka yang lengkap dua dos vaksin boleh merentas daerah termasuk ke kawasan pelancongan, saya dan suami tidak melepaskan peluang itu kerana sudah lama tidak berkunjung ke sini.
“Saya harap semua pengunjung jaga SOP kerana kita mahu membantu kerajaan untuk memastikan kes Covid-19 di negeri ini turun seterusnya dapat hidup normal seperti dulu,” katanya.
Sumber: My Metro