TUMPAT – Polis mengenal pasti kawasan di Pengkalan Kubor merupakan lokasi tumpuan kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api dari Thailand ke pasaran negara ini berikutan ia mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri pada bulan depan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerag Tumpat Supt Tan Seng Lee, pasukannya diarahkan untuk membuat pemantauan di lokasi terbabit terutamanya lorong-lorong tikus yang menjadi satu tempat penyeludup melakukan aktiviti itu.
“Pengkalan Kubor menjadi tempat ‘panas’ bagi membawa masuk bekalan itu melalui pangkalan haram dekat sempadan Malaysia-Thailand.”
“Kita telah melakukan sekatan jalan raya (SJR), pemeriksaan dan pemantauan ketat di kawasan berkenaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api memasuki negara ini,” jelasnya.
Seterusnya, beliau berkata, mereka mendapati penyeludup membawa masuk produk berkenaan menerusi jalan darat setelah menggunakan bot dan sampan bagi menyeberangi Sungai Golok yang berdekatan kawasan terbabit.
Katanya, masyarakat diingatkan supaya mengisi borang balik kampung di balai polis berdekatan bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan di kawasan kediaman mereka untuk menangani kejadian jenayah seperti pecah rumah dan sebagainya.
Sumber: BERNAMA