Kota Bharu: Pengusaha katering di Kelantan lega dan bersyukur apabila mendapat tempahan daripada bakal pengantin berikutan kebenaran kerajaan untuk mengadakan majlis kenduri kahwin.
Ia susulan Kelantan sudah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak semalam.
Pemilik Pakcu Katering, Nur Shuhada Mahmud, 31, berkata, selepas pengumuman kerajaan yang membenarkan Kelantan beralih ke Fasa 4 PPN dan membolehkan majlis sosial diadakan, ramai bakal pengantin mula membuat tempahan.
Katanya, sejak pengumuman itu dibuat, katering diusahakan bersama suaminya, Mohd Salahuddin Pasuya, 32, menerima lebih 20 tempahan bermula Januari ini sehingga Julai akan datang.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana mendapat banyak tempahan daripada pelanggan, sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.
“Sejak Covid-19 melanda dua tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katering kami dihentikan sementara. Namun, apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran, saya dan suami kembali menerima tempahan di beberapa daerah di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, akibat PKP, dia dan suami membuka kedai makan di Tawang, Bachok bagi mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, dia bersyukur kerana kedai makan yang dibuka lebih setahun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan.
“Apapun, kami akan tetap meneruskan perniagaan katering kerana sudah lebih tujuh tahun mengusahakannya sebagai sumber pendapatan untuk membesarkan tiga anak.
“Pada masa sama, katering itu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung di sekitar kami,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengumumkan Sarawak dan Kelantan yang kini berada di Fasa Tiga PPN beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa, semalam.
Sumber: My Metro