Kuala Nerus: Pengalaman mengembara di beberapa buah negara memberi idea kepada pemilik restoran untuk mengusahakan kebun sayuran di kawasan premis miliknya di Pantai Pasir Panjang, Pulau Redang dekat sini.
Kebun yang diusahakan dengan tanaman cili, terung serta bendi itu kemudiannya menjadi tarikan pelancong asing berikutan lokasinya yang unik dan menarik.
Pemiliknya, Marzuki Abdullah, 45, berkata, sebelum beralih ke bidang pertanian, dia mengusahakan restoran ikan singgang yang diberi nama Restoran Redang Moon.
Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu menyebabkan dia beralih mengusahakan kebun sayuran berikutan ketiadaan pelancong ke pulau berkenaan.
“Pelanggan restoran saya adalah pelancong asing khususnya dari China dan disebabkan pandemik Covid-19, pelancong tidak dapat masuk, jadi saya mengusahakan tanaman cili api pada mulanya bagi mengisi masa lapang.
“Usaha saya berbaloi apabila kesemua tanaman berjaya dituai hingga mampu meraih pendapatan sampingan kira-kira RM600 sebulan selepas terputus punca pendapatan sejak tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, dia ada menanam beberapa pokok cili di sekitar kawasan restoran bermula Disember 2019 hingga timbul idea untuk membuat kebun kerana tidak tahu apa aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang tempoh PKP.
Katanya, dia menggunakan plastik beras yang diperoleh dari resort bagi menggantikan polibeg untuk melihat kesesuaian aktiviti penanaman di pulau serta menggunakan baja organik dan tanah di kawasan sekitar sebelum beralih kaedah tanaman menggunakan polibeg dengan modal RM1,000.
“Cili ini saya bekalkan kepada lapan restoran di pulau ini,” katanya.
Marzuki berkata, selepas lebih setahun terbabit dalam aktiviti pertanian, dia kini memberanikan diri mencuba kaedah hidroponik dengan menanam kangkung, kacang botol dan kacang panjang.
Katanya, dia bercadang untuk membuka semula perniagaan restoran dengan konsep tanaman bakal dihidangkan dari kebun ke pinggan untuk pelanggan,” katanya.
Sumber: My Metro