Pengusaha rugi lebih RM100,000, ikan sangkar mati

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Pengusaha ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dekat Jerantut Feri, di sini kerugian lebih RM100,000 selepas ribuan ikan patin yang diternak mati sejak Ahad lalu.

Malah, hari ini mereka terpaksa membersihkan sangkar dan mengeluarkan bangkai ikan berkenaan yang dipercayai mati berikutan air sungai keruh secara tiba-tiba.

Mohamad Bakri Zulkefli, 33, berkata, dia kerugian lebih RM18,000 apabila sebahagian daripada 1,500 ternakannya di tiga sangkar mati pada Ahad.

“Saya sangat sedih kerana ikan patin yang mati itu sudah matang dan sedia untuk dijual dalam beberapa hari lagi. Ikan dalam sangkar lain yang bersaiz sederhana pula selamat.

“Sejak 2015 mengusahakan penternakan ikan dan inilah pertama kali saya berhadapan situasi ini. Mulanya, saya sangka kejadian disebabkan hujan lebat dan air keruh tetapi semalam ada penternak lain mengadu mereka juga terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Bakri berasal dari Kampung Perias berkata, dia turut bertanya beberapa penternak di kawasan berdekatan mengenai hal itu, dengan 20 orang termasuk pengusaha di hulu sungai mendakwa turut terjejas, hari ini.

“Seorang daripada mereka mengutip tiga tan ikan mati dalam sangkar, manakala seorang rakan saya kematian 20,000 ikan.

“Perniagaan ini bergerak perlahan sejak beberapa bulan lalu dan kini kami menanggung lebih banyak kerugian,” katanya yang memberitahu mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, pihaknya sudah mengambil sampel air di kawasan sangkar untuk mengenal pasti punca kematian ternakan itu.

Sumber: My Metro