Pengusaha sangkar keli organik kini bergelar chef

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pengusaha ikan keli organik, Nik Khairina Nik Abdul Razak memasak resepi istimewa ikan keli organik masak kicap ketika ditemui Bernama di Kafe Cik Turquoise, baru-baru ini.

Siapa sangka, pengusaha ikan keli organik, kini bergelar cef selepas resepi istimewa ‘ikan keli organik masak kicap’ hasil ternakannya mendapat permintaan ramai sebaik di muat naik di laman sosial, Januari lepas.

Nik Khairina Nik Abdul Razak, 41, mencetuskan idea juadah ringkas itu berikutan bekalan stok ikan terbabit hanya perlu ‘disauk’ dari sangkar miliknya yang diusahakan sejak dua tahun lalu dan kini bilangannya hampir 300,000 ekor.

Ibu kepada tiga orang anak tersebut turut mengakui, tidak menyangka resepi masak kicap mengikut cita rasanya itu dapat memenuhi selera orang ramai sehingga mendapat tempahan mencecah 150 bungkus sehari daripada pelanggan.

“Saya sebelum ini tidak pernah menceburi bidang masakan… hanya menjadi cef di rumah untuk  mengisi perut suami dan anak-anak, malah saya tidak pernah sesekali menyangka percubaan menjual nasi berlaukkan ikan keli masak kicap ini rupanya dapat memenuhi cita rasa ramai.

“Tambahan pula, selama ini saya hanya memfokuskan perniagaan ikan keli organik sejuk beku untuk dipasarkan di pasar raya terutama di ibu negara, namun sejak sebulan lalu timbul idea untuk saya mengembangkan perniagaan dalam bidang masakan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kafe Cik Turquoise, di sini.

Bercerita lanjut, beliau berkata jualannya berdasarkan konsep makanan bawa pulang serta turut menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan di sekitar Kota Bharu dan beliau bercadang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka kafe selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih tahap kepedasan set ikan keli yang turut disajikan dengan telur asin dijual pada harga RM8 sebungkus selain saya turut menawarkan menu ayam kicap bagi pelanggan yang tidak makan ikan keli, juga pada harga yang sama,” katanya.

Beliau berkata dalam masa yang sama perniagaan itu juga dapat membantu anak sulungnya, Wan Faten Nurnisa Wan Nazaruddin, 22, meraih pendapatan selepas menamatkan pengajian Diploma Komunikasi Kewartawanan di sebuah universiti pada Januari lalu. 

“Selepas anak sulung saya menamatkan pengajian, beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan susulan penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP walaupun telah banyak kali menghadiri temu duga.

“Jadi dengan adanya perniagaan ini sedikit sebanyak dapat membuka ruang kerjaya kepadanya yang turut membantu saya dalam perniagaan ini, walaupun berbeza dengan bidang yang dipelajarinya,” katanya yang kini mempunyai lima pekerja. 

SUMBER: Bernama