Kuala Terengganu: Trend kenaikan harga sayuran yang berterusan sejak seminggu lalu memberi tekanan kepada peniaga sayur di Pasar Kedai Payang 2, di sini.
Harga bunga kobis antara yang paling tinggi iaitu RM12 sekilogram berbanding RM6 sekilogram sebelum ini.
Harga sayur-sayuran lain seperti timun batang, tomato dan lada besar turut naik mendadak sekali gus memberi kebimbangan kepada peniaga.
Mohd Asri Said, 31, dari Kampung Tualan Manir berkata, harga sayuran yang naik mengejut membuatkan jualan sayur menurun pada setiap hari.
“Jualan terjual seperti biasa tetapi malangnya jualan harian hanya dalam kuantiti yang sedikit.
“Sekarang nak ambil sayur daripada pemborong dalam kuantiti besar juga bimbang ia tidak terjual.
“Trend kenaikan harga dijangka beterusan dan ia memang memberi cabaran kepada peniaga untuk meneruskan perniagaan,” katanya.
Tambahnya, pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu kenaikan harga itua.
“Sebagai peniaga kami juga serba salah apabila menjual harga sayur terlalu tinggi berbanding biasa.
“Bayangkan harga tomato daripada RM3 sekilogram naik mengejut kepada RM7 sekilogram sebelum ini.
“Sekarang harga tomato RM4 sekilogram dan ia masih tinggi berbanding harga biasa,” katanya.
Sementara itu Nur Aisyah Musa,19, berkata, harga kacang panjang naik daripada RM4 ke RM7 sekilogram.
“Ramai pelanggan bersungut kerana harga sayur naik dan kami tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kenaikan harga sayur memang serius sejak akhir-akhir ini dan peniaga tertekan kerana jualan berkurangan,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga sayur itu dijangka berterusan dari masa ke semasa.
Sumber: My Metro