Kota Bharu: Keadaan di beberapa pusat beli-belah, di sini kelihatan lengang tanpa kehadiran pengunjung, malah kesemua kedai menjual pakaian masih tutup meskipun kerajaan telah membenarkan sektor perniagaan itu beroperasi mulai kelmarin.
Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan kedai barangan kemas di pusat bandar belum dibuka walaupun perniagaan tersebut turut tersenarai dalam 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi seperti diumumkan kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa premis perniagaan pakaian serta kedai barangan emas dibuka sementara, hanya untuk membersihkan kedai dan mengemas produk jualan sebagai persiapan sebelum ia kembali beroperasi seperti biasa.
Ketika ditemui, seorang pekerja butik yang enggan dikenali berkata, majikannya tidak membuka lagi premis itu kerana menunggu arahan atau kebenaran daripada agensi terbabit di bawah kerajaan negeri berkaitan perkara berkenaan.
“Malah, majikan dan pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak beroperasi selagi kesemua pekerja butik ini belum lengkap suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mengelakkan jangkitan, tambahan pula kes di Kelantan amat membimbangkan sejak kebelakangan ini,” kata wanita berusia 22 tahun itu.
Perkara sama turut diluahkan seorang pemilik kedai emas, Wan Muhammad Izzuddin Wan Mohd Zaki, 31, yang turut memberitahu kedainya akan beroperasi semula selepas mendapat pengesahan daripada kerajaan negeri berhubung kebenaran pembukaan perniagaan di Kelantan.
“Saya agak bimbang membuka kedai buat masa ini kerana masih belum mendapat kata putus sama ada 11 aktiviti ekonomi yang boleh dibuka itu melibatkan Kelantan, memandangkan saya difahamkan negeri ini tidak lagi mencapai 50 peratus golongan dewasa lengkap vaksinasi.
“Namun, sekiranya kemudahan itu melibatkan Kelantan, saya akan memastikan pekerja dan pelanggan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19 termasuk mengemukakan sijil lengkap vaksinasi,” tambahnya.
Kerajaan Persekutuan membenarkan 11 aktiviti ekonomi antaranya kedai pakaian, fesyen dan aksesori, serta barangan kemas beroperasi bagi negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.
Bagaimanapun, kemudahan itu tertakluk mengikut syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.
Setakat semalam, 32.3 peratus rakyat Kelantan telah menerima suntikan vaksin dos pertama, manakala 18.5 peratus lagi lengkap dos kedua.
Sumber: My Metro