KUALA TERENGGANU: Peniaga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki 136,040 batang rokok seludup pelbagai jenama di rumahnya.
Tertuduh, Shafwan Abdullah, 46, turut diperintahkan membayar cukai sebanyak RM27,280 kepada Ketua Pengarah Kastam atau berdepan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal menjelaskan cukai berkenaan.
Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenama rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM21,266 di sebuah rumah di Kampung Padang Air di Kuala Nerus jam 11 malam, pada 20 Ogos 2019.
Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Md Safrizal Mohd Safian dan Muhammad Adam Zahid manakala tertuduh diwakili peguam, Horley Isaacs.
Sumber: BERITA HARIAN