Kuala Terengganu: “Saya terpaksa cari etok dan mengambil upah membuat kuih sejak tidak boleh berniaga di Pasar Kedai Payang 2 (PKP2),” kata Salimah Yusof.
Salimah, 63, antara peniaga memulakan semula perniagaan di PKP2 apabila sektor perniagaan pakaian, barangan kemas dan kraftangan dibenarkan beroperasi sejak Selasa lalu.
Katanya, dia berniaga di pasar itu lebih 20 tahun lalu dan menjalankan perniagaan pelbagai jenis pakaian dan tidak dibenarkan beroperasi kerana PKP 2.0 berkuat kuasa, tiga bulan lalu.
“Saya kehilangan pendapatan dan terpaksa menjalankan kegiatan lain untuk membiayai kos keperluan harian termasuk mencari etok dengan pendapatan RM15 sehari.
“Sebelum ini, saya berniaga di PKP2 boleh dapat RM1,000 hingga RM2,000 sehari, tetapi sekarang nak dapat RM1,000 pun sukar,” katanya ketika ditemui di PKP2, hari ini.
Menurutnya, dia hanya berjaya menjual sehelai baju batik sahaja pada hari pertama memulakan semula operasi perniagaannya itu.
Katanya, sama ada jualan laris atau tidak adalah soal kedua kerana yang paling penting dapat berniaga di pasar berkenaan.
Sementara itu, Asyraf Hadi Ramley, 24, berkata, dia gembira apabila perniagaan barangan kraftangan miliknya boleh beroperasi seperti biasa.
“Sudah lama saya dan semua peniaga menantikan kebenaran berniaga di PKP2 itu.
“Oleh itu, apabila sektor peniagaan itu dibenar beroperasi saya segera membuka kedai kraftangan seperti biasa,” katanya.
Sumber: My Metro