KOTA BHARU – Tidak mempamerkan tanda harga dan disyaki menjual pada harga yang tinggi menyebabkan 10 peniaga makanan celup tepung dan ‘colek’ sekitar Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, menerima padah apabila disaman petang tadi.
Notis dan kompaun dikenakan terhadap semua peniaga itu selepas pemeriksaan mengejut dijalankan 14 pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan sempena Op Samar.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata pemantauan dan pemeriksaan mengejut dilakukan di 20 premis jualan dengan anggota membuat penyamaran sebagai pengguna serta pelancong.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan dengan membuat pemeriksaan menyeluruh di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Pelindungan Pengguna 1999 terhadap semua 20 premis jualan di lokasi.
“Hasil daripada operasi yang dijalankan, kami merekodkan dua tindakan kes berkaitan peniaga gagal dan tidak mempamerkan tanda harga terhadap barangan yang dijual menyebabkan mereka dikenakan tindakan kompaun serta merta.
“Selain itu, sebanyak lapan notis Seksyen 21 di bawah AKHAP 2011 dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mengenakan harga yang tinggi dan diarahkan untuk mengemukakan kembali maklum balas dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Aswadi berkata, pihaknya memberikan amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa meletakkan tanda harga terhadap barangan yang dijual bagi mengelakkan berlaku manipulasi harga.
Sumber : BERITA HARIAN