Setelah dilanda wabak Covid-19 sejak dua tahun yang lalu, seluruh negara sekali lagi digemparkan dengan penularan wabak baharu iaitu cacar monyet. Virus cacar monyet telah merebak ke beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan lebih 100 kes positif virus itu dilaporkan di seluruh dunia.
Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan ‘zoonosis’ yang disebabkan oleh virus cacar monyet dari kumpulan ‘poxviridae’. Ia merupakan jangkitan virus yang ditandai dengan bintil bernanah di kulit. Penyakit cacar ini pertama kali muncul di negara Republik Demokratik Kongo pada tahun 1970.
Monkeypox atau cacar monyet pada awalnya memiliki gejala yang serupa dengan cacar air, iaitu bintil berair. Namun, lama kelamaan, bintil itu akan berubah menjadi nanah dan menimbulkan benjolan di leher, ketiak, atau kelangkang akibat pembengkakan kelenjar limfa.
Virus ini boleh tersebar dari haiwan ke manusia melalui cakaran atau gigitan haiwan, seperti monyet, tupai atau tikus, yang sudah dijangkiti virus monkeypox. Penularan virus ini juga boleh terjadi melalui sentuhan secara langsung dengan cairan tubuh haiwan yang sudah dijangkiti.
Selain itu, cacar monyet boleh tersebar antara manusia melalui percikan cecair yang masuk melalui mata, mulut, hidung, atau luka di kulit. Penularan juga boleh terjadi melalui benda yang sudah tercemar, seperti pakaian penghidap cacar tersebut. Namun, penularan antara manusia memerlukan masa yang lama.
Laporan menyebut golongan yang berumur kurang dari 50 tahun berisiko terhadap jangkitan, manakala sebahagian negara melaporkan bahawa kanak-kanak berusia 10 tahun memiliki kecenderungan yang agak tinggi untuk dijankgkiti wabak cacar tersebut.
Sekiranya seseorang itu telah dijangkiti oleh penyaklit cacar monyet, ia kebiasaannya mengambil masa dari lima hingga 21 hari untuk simptom pertama mulai muncul. Individu yang mengalami penyakit cacar monyet akan menghadapi simptom-simptom seperti demam, pening kepala, sakit otot, sakit belakang, bengkak kelenjar limfa, menggigil dan keletihan.
Jangkitan akan dimulai dengan demam tinggi, diikuti dengan kemunculan ruam ‘makulapapular’ pada kulit, biasanya dalam bentuk vesikel berisi cecair dan majoritinya berlaku pada bahagian muka serta tangan dan kaki. Ruam akan berkembang bermula pada muka kemudian merebak ke bahagian badan lain. Ruam akan berubah dan melalui peringkat yang berbeza seperti cacar air sebelum akhirnya membentuk kudis, yang kemudiannya akan kering dan tertanggal.
Kebanyakan mereka yang sudah dijangkiti virus cacar monyet boleh pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi melainkan individu tersebut mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh lemah. Kematian akibat cacar monyet biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dewasa yang ‘terimunokompromi’ atau mempunyai masalah komorbid. Ia turut dikaitkan dengan komplikasi organ dalaman iaitu radang di paru-paru dan otak.
Setakat ini tiada kes cacar monyet pernah dilaporkan di Malaysia, oleh itu dalam konteks pencegahan, masyarakat perlu proaktif dalam melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi mengelak dari terkena jangkitan terutama mereka yang akan membuat perjalanan ke luar negara khususnya ke negara yang telah dilaporkan berlakunya wabak.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran di Twitternya pada Khamis lalu berkata, ‘Health Alert monkeypox’ akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pengguna memperoleh amaran kesihatan sekiranya mereka dijangkiti virus ‘monkeypox’ (cacar monyet).
Manakala Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa telah dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mencegah kemasukan virus itu ke dalam negara. Justeru itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melihat tiada keperluan untuk pintu sempadan negara ditutup, sebaliknya langkah persediaan kes dilakukan termasuk ujian pemeriksaan virus di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).
Oleh itu, semua garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dipatuhi khasnya bagi pengembara yang baru tiba dari negara yang dilanda wabak cacar monyet untuk memastikan supaya tiada sebarang ancaman penyakit berkenaan. Di samping itu, sebarang isu kesihatan yang mungkin terbabit dengan jangkitan terutama yang disyaki jangkitan cacar monyet perlu dilaporkan segera supaya tindakan pengasingan dapat segera dilaksanakan.