Penjana Kerjaya: Perkeso Salur RM13.3 Juta Di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyalurkan lebih RM13.3 juta kepada 721 majikan sejak Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) diperkenalkan Jun tahun lalu.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, program berkenaan adalah antara salah satu inisiatif kerajaan melalui Perkeso dalam memastikan kebolehpekerjaan dalam kalangan pencari kerja tempatan dan penjanaan pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Katanya, program itu sangat bermanfaat memandangkan ramai yang terkesan dalam tempoh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu sehingga menyebabkan pengangguran melonjak.

“Di Kelantan, melalui Penjana Kerjaya, seramai 4,972 individu berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya dalam sidang media Program Sinergi Perkeso Kelantan Bersama Flex Physiotheraphy di Wakaf Che Yeh di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Flex Physiotheraphy, Wan Muhammad Zahid Wan Zulkefli.

Terdahulu, Dr Ramli menyampaikan faedah Perkeso di bawah Skim Bencana Pekerjaan kepada dua pencarum yang ditimpa musibah dan hilang upaya berjumlah RM36,458.57 bagi faedah hilang upaya sementara dan faedah hilang upaya kekal.

RAMLI menyerahkan replika cek kepada Mazulfikri Rosdi (tengah) sambil diperhatikan Nora (kiri). FOTO Hazira Ahmad Zaidi
RAMLI menyerahkan replika cek kepada Mazulfikri Rosdi (tengah) sambil diperhatikan Nora (kiri). FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Dalam pada itu, Nora berkata, Perkeso bukan semata-mata memberi pampasan kewangan kepada pekerja yang ditimpa musibah, keilatan serta kematian, malah memberi fokus kepada usaha pemulihan pekerja supaya mereka dapat kembali bekerja.

“Seramai 153 pencarum Perkeso di Kelantan yang menjalani pemulihan melalui Program Return To Work dan kesemua mereka berjaya dipulihkan dan kembali semula bekerja.

“Manakala seramai 25,721 jumlah Orang Berinsurans di seluruh negara yang sudah berjaya kembali bekerja sejak Program Return To Work diperkenalkan pada Januari 2007,” katanya.

Mengulas lanjut, Nora berkata, melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MyFutureJobs yang diperkenalkan pada 14 Jun tahun lalu, sehingga kini terdapat 11,551 jawatan kosong daripada 1,414 majikan yang ditawarkan kepada 54,438 pencari kerja di seluruh negeri Kelantan.

“MyFutureJobs adalah portal yang boleh digunakan untuk membantu golongan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang secara tidak langsung mampu mengurangkan kadar pengangguran dan sekali gus merancakkan semula ekonomi negara .

“Daripada jumlah kekosongan yang ditawarkan di portal berkenaan, seramai 6,064 berjaya mendapatkan pekerjaan. Perkeso akan terus berusaha melaksanakan pencarian dan penempatan pekerjaan melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (Jamin Kerja) dengan sasaran 600,000 peluang pekerjaan melalui peruntukan Bajet 2022,” katanya.

Sumber: My Metro