Penjawat Awam Enggan Ambil Vaksin Dikenakan Tindakan Mulai Esok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERMULA esok, 1 November 2021, kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Menurut pekeliling tersebut, langkah tersebut diambil untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.

Pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Kenyataan JPA pada 30 September lalu telah menetapkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19. Mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November 2021.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan. Antara hukuman tersebut seperti diberi amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

JPA turut memaklumkan setakat 30 Oktober lalu, seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam masih belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin pada Sabtu memaklumkan terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19.

Beliau juga mengingatkan kumpulan guru terbabit supaya tidak menyalahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya kerajaan mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.

Mohamad Alamin berkata, sebagai penjawat awam, guru juga tertakluk kepada peraturan di bawah JPA.

Sumber: SINAR HARIAN