‘Penjenayah hutan’ gagal buat ladang haram Musang King

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bentong: Usaha pihak tertentu yang menceroboh dan ‘membersihkan’ Hutan Simpan Lentang Tambahan di sini, untuk dijadikan ladang durian Musang King digagalkan Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat kelmarin.

Turut dirampas sebuah jengkaut yang digunakan bagi meratakan tanah di lokasi berkenaan, serta tanah kerajaan yang terletak bersebelahan, namun pemandunya dapat melarikan diri.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, pihak berkaitan sudah membersihkan kira-kira 1.5 hektar Hutan Simpan Lentang Tambahan sebelum kegiatan itu dikesan.

Menurut Nor Azirim, pemantauan dengan menggunakan dron mendapati, tanah milik kerajaan yang terletak bersebelahan dengan hutan simpan itu turut diceroboh.

“Kira-kira 30 hektar tanah milik kerajaan itu sudah diceroboh untuk dijadikan ladang durian Musang King,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Nor Azirim, kegiatan menceroboh Hutan Simpan Lentang Tambahan, termasuk tanah milik kerajaan, dipercayai didalangi beberapa individu.

“Mereka mengupah pihak lain untuk melakukan kerja pembersihan dan membina teres tanaman.

“Kejayaan mengesan kegiatan terbabit di peringkat awal dapat mengelak kemusnahan lebih luas hutan simpan serta tanah milik kerajaan,” katanya.

Menurut Nor Azirim, jengkaut terbabit disita untuk tindakan seterusnya.

Nor Azirim berkata, sepanjang bulan ini, Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Timur dan Barat menyelesaikan lima kes membabitkan kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti perlombongan, memindahkan hasil hutan dan pertanian.

“Kami akan mempergiatkan rondaan dan serbuan di seluruh negeri terutama di hutan simpan yang sering menjadi tumpuan penjenayah hutan,” katanya.

Sumber: My Metro